Tuesday, September 13, 2011

TA'ARUF, COUPLE & RUJUKAN WAHABI

Assalammualaikum Ustaz,

terima kasih atas jawapan yang diberikan.

Bolehkah Ustaz terangkan berkenaan perihal ' ta'aruf '. Daripada jawapan yang ustaz berikan, memang tiada cara yang dapat menghalalkan bercinta sebelum kahwin tetapi

kenapakah di Malaysia tidak disiarkan secara terang-terangan dalam menyampaikan kepada masyarakat semua yang mengatakan couple itu haram..apa pandangan ustaz?

dan satu lagi, rujukan berkenaan Albani...bukankah Ibn Taimiyah, Albani,Ibn Qayyim adalah ulama wahabi yang telah banyak mendaifkan hadis contohnya Shahih Sunan Tirmizi dan Dhaif Sunan Tirmizi..Mohon penjelasan kenapa ustaz mengambil Albani sebagai rujukan sedangkan Albani telah dilabelkan sebagai Wahabi..?Terima Kasih..Harap Pertanyaan dapat menarik perhatian Ustaz..Mintak Maaf jika terkasar bahasa...Insyaallah..

RESPON USTAZ

Assalamualaikum wrt wbt

Soalan pertama : berkaitan taaruf

Secara jujurnya ustaz tidak menemui sebarang nas yang menceritakan tentang taaruf. Namun, proses ini diwujudkan untuk mengelakkan khalwat. Khalwat adalah pertemuan sepasang teruna dan dara di tempat sunyi dalam keadaan mencurigakan. Semua mengetahui bahawa khalwat adalah satu dosa, mengelakkan dari berlaku khalwat adalah merupakan satu pahala. Oleh itu, proses taaruf adalah pertemuan teruna dan dara, bersama dengan orang tengah di tempat yang terbuka. Semua proses taaruf adalah mengikut batasan syariat yang ditetapkan dalam agama.

Proses taaruf ini biasanya digunakan untuk pasangan yang mana belajar di luar negara atau jauh dari kampung halaman. Tiada sanak saudara atau ibubapa berdekatan. Oleh itu, mereka perlukan bantuan orang tengah untuk mewakili ibubapa mereka. Orang tengah itu sepatutnya adalah orang beragama dan sudah berumahtangga. Agar segala fitnah mampu dielakkan.

Selagi mana pertemuan itu diadakan secara mengikut batas syariat, maka insya allah proses taaruf itu akan mendapat pahala. Berbeza jika keluar dating, berkenalan di restoran. Bertemu di tempat yang tidak terkawal tanpa pengwasan orang tengah. Maka dating sebegini sudah pasti mendatangkan fitnah. Oleh yang demikian, mengadakan taaruf menerusi orang tengah adalah suatu keperluan demi menjaga kesucian agama dan menjauhi fitnah.

Soalan kedua : Kenapa tidak disiarkan secara terang-terangan tentang couple itu haram?

Jawapannya mudah, kerana penguasa yang memegang media adalah orang berfikiran sekular. Di Malaysia ini tiada media yang benar2 dikuasai oleh orang agama. Semuanya dikawal oleh pemerintah yang berfahaman sekular. Mereka tidak akan menyuarakan banyak perkara yang benar. Untuk itu, perlu kepada usaha orang2 muda agar menceburi bidang media dan menguasai teraju-teraju penyiaran. Barulah bahan-bahan islamik dan penjelasan tentang hukum akan tersebar.

Antara sebab ustaz menulis di blog adalah sebagai satu usaha menjelaskan bahawa couple itu haram. Jika kita melihat kepada kebanyakan pandangan ulama, memang sudah jelas couple itu haram. Bahkan tiada sirah di zaman sahabat yang menunjukkan wujudnya percintaan seperti dating, berdua-duaan dan sebagainya.

Soalan ketiga : Kenapa memilih rujukan Albani.

Berkaitan dengan rujukan Albani. Ustaz sekadar cuba bersikap adil dan menerima pandangan ulamak terdahulu selagi mana tiada keraguan pada hujjahnya. Yang melabelkan Albani, Ibn Qayyim sebagai wahabi itu adalah hak masing-masing. Boleh jadi gelaran al-Wahabi itu dikeluarkan atas sebab-sebab 'ketaksuban' sesuatu pihak yang ingin menafikan keilmuan Ibn Qayyim, Albani dan Ibnu Taimiyah. Namun, dengan melabelkan mereka sebagai wahabi adakah keilmuan mereka terbatal? Sudah tentu tidak kan? Ini kerana terbukti mereka adalah orang alim. Biarpun fahaman mereka agak berbeza, namun kita tidak ada hak untuk menghukum mereka. Adakah kita sudah setaraf dengan mereka untuk MENGHUKUM mereka 'SALAH'?

Cuba kita fikir. Adakah kita hafaz alquran seperti mereka? Adakah kita menghafaz hadis sebanyak mereka? Adakah kita menguasai ilmu usul fiqh dan mustolah hadis setaraf dengan mereka? Jika kita jauh lebih rendah keilmuan dari mereka... apa salahnya kita mengambil pendapat mereka? Kerana mereka sememangnya orang alim. Malangnya, ramai pihak yang cuba menafikan keilmuan mereka dengan meletakkan 'Wahabi'.

Dalam hal ini, ustaz cuba bersikap adil dan tidak cenderung kepada sesiapapun. Ustaz hanya memilih mereka kerana mereka jauh lebih alim dari ustaz dalam banyak aspek. Mereka lebih menguasai bahasa arab, alquran dan hadis berbanding ustaz. Jadi, ustaz ini sebagai manusia jahil... ustaz merasa perlu untuk merujuk kepada mereka dalam beberapa perkara. Selagi mana nas dan hujjah mereka selari dengan alquran dan hadis yang sahih.

Dalam isu ini, ustaz lebih suka untuk kita melihat perkara asas dalam agama iaitu menegakkan khilafah islamiyah di bumi Malaysia. Daripada kita sibuk mengkritik dan melabel ulamak yang sudah jelas lebih alim daripada kita. Ustaz lebih suka kita fokus bagaimana mahu meneruskan usaha amar maaruf dan nahi mungkar. Daripada kita sibuk mengatakan ini Wahabi dan ini Sunni. Ustaz lebih suka jika kita berpakat untuk mencegah kemungkaran di sekeliling kita dengan menulis buku, majalah, menerbitkan drama yang bercirikan islam. Daripada kita sibuk mencari kelemahan dan membesar2kan kekurangan pendakwah lain.

Semoga kita tergolong dikalangan orang yang menguntungkan umat Islam. Bukan merugikan umat Islam. Ustaz mohon maaf jika ada kekasaran bahasa. Siapalah ustaz untuk menghukum umat Muhammad.

Sekian. Wassalam.

0 comments: