Wednesday, May 04, 2011

Jangan Biar CINTA Merosakkan IMAN (Bab 2)

CINTA
Sumber
KEKUATAN?


“SAYA tidak boleh hidup sendirian, tanpa seorang kekasih saya merasa kekosongan. Jiwa saya lemah dan tidak bermotivasi.” Luah seorang remaja.

“Adakah kekasih itu menjadi sumber kekuatan awak?”

“Iya! Tanpa kehadiran si dia dalam hidup saya...saya seperti hilang arah”

Barangkali itulah akidah remaja zaman sekarang. Hidup memerlukan cinta, tanpa cinta semuanya tidak ada makna. Hidup tanpa seorang kekasih ibarat hidup tanpa matlamat. Terasa sia-sia dan hampa. Astaghfirullah!

Masa muda hanya sekali, disebabkan itu remaja kita tercari-cari sesuatu untuk diisi dalam sanubari. Mereka mahu menghiasi hidup dengan warna gembira, bahagia dan ketawa. Dari situ, mereka percaya akan mendapat banyak kekuatan dalam menempuh pancaroba dunia. Maka, mereka berusaha mencari teman untuk dijadikan sandaran atau tempat pergantungan hidup.

Kenapa jadi begitu? Iya, ini disebabkan media massa terlalu banyak mempromosikan percintaan remaja. Mereka menggambarkan cinta persis tenaga yang akan memberi kekuatan untuk menempuh cabaran. Disebabkan itu remaja mula membazirkan usia muda untuk mencari cinta. Mereka seolah-olah diprogramkan oleh media massa agar memuja dan membesarkan percintaan melebihi segala-galanya.

Lalu budaya ‘couple’ menjadi subur, iaitu hubungan teruna dan dara tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Budaya ini menjadi sangat popular di kalangan muda-mudi. Mereka menjadikan televisyen sebagai kiblat dan mengambil pengajaran daripadanya. Apa sahaja yang dipaparkan di dalam kaca televisyen, itulah panduan dan pegangan kehidupan mereka. Tanpa mereka mempersoalkan, “Betulkah cara hidup sebegini?”

“Bolehkah teruna dan dara yang masih remaja berhubung seperti suami dan isteri?”


CINTA YANG MEMBUKA AURAT


Saudara dan saudari yang dikasihi,

Remaja sekarang bercinta bagaikan pasangan kekasih romeo dan juliet. Semua benda dikongsi, dalam dan luar, zahir dan batin. Yang sulit dan yang pelik, semuanya sudah terbuka tanpa ada rahsia. Sekalipun belum berkahwin, tetapi segala aurat dan rahsia sudah terdedah. Kekasih mereka memiliki segala maklumat tentangnya. Pasangan kekasih itulah dunia buatnya. Tanpa kekasih, tiada makna hidup di dunia.

Setelah hubungan berjalan, tiba-tiba mereka dilanda masalah. Dari situ akan timbullah konflik yang sangat sukar diselesaikan. Apabila cinta yang dipuja dan dibina itu mengalami goncangan, mereka lekas kecewa dan hilang arah. Mereka gelisah dan gundah, mereka mula mencari ketenangan. Dari situ, pelbagai ragam remaja dapat kita saksikan.

Ada yang mencari ketenangan dengan menyanyikan lagu-lagu di pusat hiburan karaoke. Ada yang mengurung diri dan mendengar muzik sentimental. Ada yang mabuk kerana melayan perasaan dan emosi yang tidak keruan. Lagi teruk, ada yang merancang untuk membunuh diri akibat putus cinta. Na’zubillah! Mereka menjadi remaja yang lesu, lemah dan letai tanpa seorang kekasih. Semua cita-cita dan impian menjadi sirna akibat dirempuh kekecewaan putus cinta.

Di mana letaknya Allah dalam kehidupan mereka? Bukankah Allah sebaik-baik tempat bergantung? Di mana gunanya panduan hadis Rasulullah? Adakah mereka tidak merujuk al-Quran dan as-Sunnah walaupun sekelumit? Atau mereka langsung tidak pernah tahu bahawa Allah telah menyediakan jalan keluar bagi setiap masalah? Adakah mereka tahu, bahawa percintaan itu tidak akan memberikan apa-apa keuntungan di akhirat. Malah sebaliknya membawa bahana dan musibah yang lebih besar.

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Inilah realiti suasana remaja kita. Ramai yang merasakan dirinya tidak berbuat salah atau berkelakuan normal, tetapi hakikatnya dia menyeleweng dari kebenaran. Sebagaimana sesetengah pasangan remaja yang bercinta, kononnya mengikuti batas syariat sedangkan percintaan itu menjadi racun yang merosakkan iman dan mencemarkan jiwanya.


SALAH SANDARAN


Seorang pelajar siswi pernah bertanya kepada saya mengenai satu perkara. Iaitu dia sering sahaja meluahkan perasaannya kepada seorang rakan jemaah lelaki. Setiap kali mempunyai masalah dalaman, dia akan berhubung dengan lelaki itu demi mendapatkan pandangan. Lelaki itu menjadi tempat dia bergantung dan meminta pertolongan.

Adalah menjadi fitrah wanita meminta bantuan kepada lelaki. Kerana lelaki itu lebih kuat dari segi fizikal dan emosinya. Namun, dalam konteks teruna dan dara, meluah perasaan itu adalah haram jika ia tidak bermaksud untuk membina keimanan dan ketaqwaan. Kerana perkongsian perasaan sudah pasti melibatkan perbualan peribadi dan terselit di sana unsur-unsur zina hati.

Oleh yang demikian, Islam amat-amat melarang teruna dan dara berkongsi rasa menerusi talian telefon bimbit, SMS atau keluar berdua-duaan. Kerana inilah sebenarnya pintu-pintu zina hati yang boleh membawa kepada zina kemaluan.

Jika ingin meminta pandangan, bukankah masih ramai ustazah ataupun senior yang sejenis dapat membantu siswi tersebut. Kenapa perlu bertanya kepada seorang itu sahaja? Jika benar mahukan bantuan, sepatutnya setiap masalah diajukan kepada orang yang lebih berpengalaman. Bukan diluah kepada yang sebaya. Bukankah di situ ternampak ada suatu niat lain?


TAQARRUB KEPADA ALLAH


Jadi, bagaimana jalan keluar daripada permasalahan?

Setiap masalah berlaku dengan izin Allah. Kesilapan kita dan kesusahan kita, semuanya Allah ketahui. Pernahkah kita mengambil sikap berdoa apabila ditimpa masalah. Pernahkah kita ambil sikap bersabar dan bersolat apabila masalah muncul? Atau kita terlebih dahulu bergegas mencari manusia dan makhluk tuhan, sedangkan kita langsung tidak meminta kepada Allah selaku pencipta kita?

Allah SWT berfirman :

“Mohonlah pertolongan dengan bersabar dan bersolat” (Surah al-Baqarah : Ayat 40).

Hampir majoriti remaja islam tidak menjadikan ayat ini sebagai panduan. Sedangkan ayat ini sangat penting untuk dijadikan teras dalam kehidupan sesiapapun sama ada remaja ataupun dewasa. Malangnya ramai orang islam, tidak menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Sebab itu, apabila masalah muncul maka mereka akan terlebih dahulu berkongsi perasaan dengan yang bukan mahram. Mereka minta pertolongan dengan makhluk, mereka fikir makhluk itu yang menyelesaikan masalah mereka. Mereka lupa bahawa Allah yang berkuasa atas segala-galanya. Akibatnya, masalah tidak selesai, dosa pula bertambah. Lambat-laun, timbul pula masalah baru. Astaghfirullah.

Sepatutnya, apabila kita ditimpa ujian dan masalah. Kita semakin menjaga solat dan memperbanyakkan ibadat sunat serta doa. Kita sedaya upaya menjauhi dosa-dosa kecil, apatah lagi dosa besar. Kerana dosa itu akan menjerumuskan kita ke dalam kepayahan. Yakinlah Syaitan akan merugikan kita. Hanya Allah akan memberi kemenangan kepada kita. Firman Allah :

“Syaitan cuba menakutkan kamu dengan kefaqiran, dan menyuruh kamu berbuat kekejian, padahal Allah menjanjikan kepadamu maghfirah-Nya, dan kurnianya. Wallahu wasi'un aliim (dan Allah Maha Luas Karunia-Nya, Maha Mengetahui).’ (Surah al-Baqarah : Ayat 269).

Semoga Allah mengampuni kesilapan kita.

1 comments:

::نور فيلزاتي:: said...

sebuah perkongsian yg merubah persepsi sy. syukran ustaz atas ilmunya. (^_^)