Thursday, April 07, 2011

Catatan Buat Penulis Agamawan

Firman Allah dalam surah al-Ahqaaf : ayat 13.

(13) Sesungguhnya orang-orang Yang menegaskan keyakinannya Dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan Yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Apabila dua kelopak mata di buka waktu fajar sadiq melukis jalur kuning di dada jumantara, maka bersaksilah jiwa dengan menyebut “Alamdulillah allazi ahyana...” Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami. Apabila kita mula mendengar sesuatu, melihat sesuatu dan merasai sesuatu...maka pastikan ia bermula dengan mengingati Allah.



Begitulah apabila kekunci dipetik dan perkataan terpapar di skrin. Semuanya dengan satu tujuan iaitu agar manusia lain akan bangkit membuka matanya dan bersaksi bahawa “Tuhan Kami Adalah Allah!” Itulah nawaitu yang perlu dipahat di dalam jiwa agamawan.


Catatan seterusnya dipetik dari buku terbaru saya (Bakal terbit)


Alhamdulillah, pertamanya dan selamanya saya ungkapkan syukur kepada Allah SWT atas nikmat iman dan islam serta atas segala nikmat yang tidak mampu dihitung. Dengan izin-Nya saya mampu menulis dan berkongsi maklumat berguna ini kepada pembaca sekalian.

Tujuan utama saya menulis buku ini adalah untuk memberi galakan dan dorongan kepada penulis baru atau pendatang luar dunia penulisan agar turut menyertai bidang penulisan. Saya mengetahui bahawa ramai anak-anak atau remaja yang berkemahuan untuk menyertai bengkel penulisan, tetapi tidak mempunyai wang atau keluangan masa. Atas dasar itu, saya berhasrat untuk berkongsi pengalaman dan pandangan khusus kepada mereka yang mahu menulis tetapi tidak mempunyai mentor mahupun masa untuk menyertai bengkel.

Cerpen Pertama Saya

Cerpen pertama saya dihasilkan sewaktu saya berada di tingkatan tiga. Tanpa ada bimbingan atau dorongan daripada sesiapa. Ia tercetus atas kemahuan sendiri untuk berkarya dan meluahkan rasa. Kebetulan pula keluarga saya mempunyai sebuah komputer dan mesin pencetak(Printer), maka saya mengambil inisiatif untuk menulis dan mencetak cerpen pertama saya sebagai koleksi peribadi.

Saya masih ingat, orang pertama yang membaca cerpen saya adalah kakak saya Puan Noorahmawati Alias. Pada asalnya saya menyimpan cerpen itu di bilik, entah bagaimana dia menemuinya dan membacanya sepintas lalu. Seusai membaca dia menemui saya, langsung dia memuji dan memberikan suntikan semangat dengan mengatakan bahawa “Ubai ada bakat dan masih boleh diperbaiki”. Saya terkasima dengan kalam itu, ia benar-benar diluar jangkaan.

Walaupun saya sebetulnya tidak mengharapkan pujian atau komentar daripada sesiapa, ternyata ucapan kakak saya telah mendorong saya untuk terus menulis. Apabila saya pulang ke asrama, saya membawa cerpen tersebut dan meminta rakan-rakan membacanya. Mereka memberi komen yang berbagai. Malah ada yang mengkritik disebabkan nama watak utamanya sering tersalah eja.

Saya semakin teruja dengan teguran dan kritikan tersebut, ini bererti rakan-rakan saya membaca karya tersebut walaupun mereka tidak menyukainya. Dari situ saya mencari ruang untuk menaip di komputer perpustakaan dan menulis beberapa buah karya apabila pulang bercuti di rumah. Beberapa karya saya telah dimuatkan dalam majalah sekolah. Susulan daripada itu, saya semakin ghairah untuk menulis. Saya mula berkunjung ke kedai buku untuk membeli novel remaja.

Belasan tahun yang lalu, novel islamik belum ada di pasaran. Oleh itu pilihan saya terbatas. Malah sebagai pelajar sudah tentu saya akan memilih novel yang murah. Lalu saya mendapati novel Ahadiat Akashah dijual dengan harga mampu beli oleh golongan pelajar seperti saya. Semenjak itu saya membeli beberapa buah novel Ahadiat Akashah untuk dijadikan contoh penulisan.

Menumpang Komputer Persatuan

Setahun kemudian saya melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Kaherah. Di sana saya menjadi ketagihan untuk menulis sekalipun saya tidak memiliki komputer sendiri. Saya kerap ke pejabat persatuan dengan hasrat meminjam komputer Kelab Karyawan Islam untuk menaip. Disebabkan minat, saya dipilih dan dilantik sebagai exco penerbitan pelajar Kelantan. Sewaktu itu, untuk memiliki sebuah komputer amat susah dan harganya mahal bagi seorang mahasiswa di Kaherah. Saya terpaksa berulang alik dari rumah ke pejabat persatuan hanya semata-mata untuk menaip.

Ketika itu saya berkenalan dengan mentor saya iaitu saudara Nazmi Yaakob yang bergiat di dalam penulisan di majalah suara kampus. Pada awalnya saya tidak berhasrat untuk mengikuti perkembangan penulisan beliau, malah saya juga tiada hasrat untuk menjadi penulis. Kerana minat saya hanyalah untuk berkongsi dan bukannya untuk dijadikan sumber pendapatan. Namun, memandangkan ruang dan peluang sudah ada maka saya cuba mengikuti beberapa siri penulisan anjuran mahasiswa. Saudara Nazmi adalah pengisi slot program, beliau juga adalah mahasiswa senior yang mempunyai sedikit latar belakang dalam penulisan cerpen dan artikel. Itulah kali pertama dan kali terakhir saya menyertai bengkel penulisan sebagai peserta. Selebihnya, saya menjadi penganjur dan menyusun program penulisan untuk mahasiswa di sana.

Walaupun saya menjadi penyelaras program, saya tidak pernah berhasrat untuk menulis secara serius. Malah istilah ‘Penulis Novel’ tidak pernah wujud dalam kamus hidup saya. Semua yang saya lakukan sebelum ini adalah kerana minat dan kegemaran untuk meluah isi serta pandangan.

Titik Perubahan

Memang saya tidak pernah berangan untuk menjadi penulis novel kerana saya hanya banyak menulis cerpen dan esei pendek. Malah, saya tidak pernah berhasrat untuk menghantar karya saya ke media perdana. Namun, hasrat saya berubah apabila bertemu dengan rakan penulis iaitu Amiza Khusyri yang sama-sama menuntut di universiti Al-Azhar. Sewaktu saya mula berkenalan dengan beliau, dia sudah menulis sebuah novel ‘Sejernih Salsabila’ yang dicetak untuk mahasiswa di Mesir.

Saya berkenalan dengan beliau dalam beberapa siri pertemuan, beliau yang begitu optimis memberitahu bahawa dia pernah mengikuti bengkel penulisan KEPEZI. Hasil dari penyertaan bengkel itu, beliau telah menulis cerpen bertajuk ‘Tuhfah di Ambang Syawal’ dan menghantar ke Berita Minggu. Ternyata, cerpen itu akhirnya tersiar. Keratan akhbar cerpen beliau itu sempat saya lihat sendiri. Bermula dari titik itu, hasrat saya berubah. Saya beranggapan bahawa saya juga mampu melakukannya jika rakan saya mampu. Saya mula berubah prinsip daripada menulis suka-suka kepada menulis untuk media perdana.

Sewaktu itu, pusat siber café semakin banyak dibuka sekeliling tempat saya menyewa. Maka peluang untuk saya menulis semakin terbuka. Saya menyertai laman sesawang esastera.com dan belajar menulis secara maya menerusi laman sesawang tersebut. Di situ saya mengenali beberapa penulis tersohor dan berinteraksi dengan mereka.

Akhirnya saya berjaya menghasilkan beberapa buah cerpen yang tersiar di media perdana, antaranya :

1) Lelaki Tiong Hua – tersiar di Dewan Siswa.
2) Gadis Bermata Biru – tersiar di Dewan Siswa.
3) Tangisan Langkasuka – tersiar di Dewan Agama dan Falsafah
4) Debu-debu Zitkovac – tersiar di Tunas Cipta

Apabila saya tamat belajar di Universiti al-Azhar, Kaherah. Saya langsung berurusan dengan beberapa penerbit. Setakat buku ini ditulis, saya telahpun menghasilkan sebanyak sembilan buah karya, iaitu :

1) Sekudus Nur Ilahi - 2006
2) Warkah Cinta Berbau Syurga - 2008
3) Hei Kawan! Jangan Patah Semangat - 2008
4) Aku Mahu Jatuh Cinta, Tapi dengan Siapa? – 2008
5) Mengintai Cinta Khalifah - 2009
6) Sakinah - 2010
7) Kompas Cinta - 2010
8) Menyeru Kepada Allah – 2010
9) Kala Cinta & Wahyu Bersatu - 2010

Saya menulis di dalam genre yang berbagai, iaitu genre penulisan kreatif dan ilmiah. Saya suka menulis apa sahaja genre asalkan ia mempunyai manfaat kepada umat Islam dan tidak membawa pembaca kepada jalan yang songsang atau tidak berlandaskan syariat Allah. Saya yakin dan percaya, masih ramai yang mampu menjadi penulis yang lebih cemerlang daripada saya. Walaupun tidak pernah mengikuti bengkel secara khusus, namun peluang dan lapangan sentiasa terbuka untuk anda semua di dalam dunia penulisan.

Semua buku-buku ini terhasil dengan izin Allah SWT dan saya hanya peminjam nikmat. Malah buku ini juga terhasil dengan izin Allah SWT dan juga anugerahnya kepada saya. Atas dasar bakat yang diamanahkan, saya ingin menyeru kepada seluruh umat Islam dan generasi baru agar menyertai bidang penulisan ini demi mensasarkan perubahan dalam dunia penulisan kontemporari. Insya Allah!

You cannot run away from weakness, you must some time fight it out or perish. And if that be so, why not now, and where you stand?

Anda tidak boleh melarikan diri daripada kelemahan, kadangkala anda harus melawannya atau anda akan dikalahkan oleh kelemahan itu. Jika memang begitu, kenapa tidak mula(melawannya) sekarang, di tempat anda sedang berdiri sekarang –

1 comments:

ezzaty saadah @ zinatulhayah said...

Alhamdulillah, syukran pengalaman yg beharga bg seorang penulis agamawan..^__^
luv ur book...teruskan menulis lg ye..