Sunday, March 27, 2011

NOVEL TERBARU 'CINTA KEMBALI BERSUJUD'

Saudara dan saudari sekalian,

Jika tiada aral melintang, novel terbaru saya akan terbit pada awal bulan April nanti dan dijadualkan memasuki pasaran Pesta Buku Kuala Lumpur 2011. Tajuknya CINTA KEMBALI BERSUJUD.

Insya allah, doakan ia terbit dan sempat dipasarkan dalam pesta buku.



BAHAGIAN SATU

‘Mencintai bererti sentiasa teruji’

Muhammad Ibrahim

Aminah Mutmainnah

Sofiy Ar-Rahman

Fatimah Az-Zahra

Rasima

Safuan

Ustaz Kahar


Zahirnya aku anak yang cekal dan degil, pantang mengalah dengan sesiapa. Hakikatnya aku sering menangis apabila semua mata telah lena dibuai mimpi. Aku sering bertanyakan tuhan kenapa biarkan aku di sini dan tidak mengambilku pergi bersama ibu dan ayahku. Kenapa tuhan berikan aku kehidupan yang sukar dan tersisih. Bawa sajalah aku kepada ibu dan ayahku. Kenapa dibiarkan aku terkontang-kanting di dunia ini bersama seribu satu belenggu.

Dunia yang luas ini, terasa sempit. Dunia yang dipenuhi manusia, bagaikan satu tempat kosong. Ke mana sahaja aku pergi, tiada yang mengalu-alukan aku. Akhirnya aku mengerti bahawa aku ditakdirkan hidup sendiri, luka dan sakit di jiwa semuanya harus aku telan. Andai aku menangis, tiada ibu yang datang memujuk. Andai aku jatuh, tiada ayah yang datang menolong.

Dari kecil, aku sudah dipaksa memahami erti sendiri. Setiap bingkisan emosi yang cuba aku luahkan, belum tentu ada hati yang mahu memahami. Semua debur emosi yang membusung dan terpendam dalam dadaku, belum pasti ada yang mahu peduli. Apabila aku menulis, meluah dan memuntahkan segala lahar jiwa yang membahang dalam atmaku. Terasa walah dan ribut di dada kian susut. Biarlah aku menulis pada tuhan, kerana hanya Dia saja yang mengerti dan memahami derita batin seorang anak yatim sepertiku.

Fatimah...dia adikku yang akan aku tatang bagaikan minyak yang penuh. Aku mahu menjadi pelindung baginya. Biar hujan, ribut, taufan dan badai melanda sekalipun, aku tidak akan undur demi menjaga adikku. Aku akan berusaha untuk mencorak masa depannya dengan kekuatan jiwaku. Sekalipun aku terpaksa mengorbankan kepentingan diriku.

Fatimah! Abang akan mengubah situasi hidup kita nanti. Percayalah!



BAHAGIAN DUA

‘Letusan Cinta dari Jiwa-jiwa yang Berbeda’

Syed ‘Ariful Ehsan

Uswatul ‘Ulya

Syed Syakir

Sufiah

Haziq

Sofiy ar-Rahman

Fatimah Az-Zahra

Karimul Wujdan


“ALLAHU akbarulla~hu akbar!” Kedengaran bunyi azan menerusi nada dering telefon bimbit memecah suasana hening di waktu pagi. Wawa mengkernyih mata dan mencapai telefon bimbitnya, dia melihat jam yang menunjukkan sudah masuk waktu untuk solat subuh. Dia bangun dari pembaringan dan duduk bersila di bucu katil.

“Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku selepas mematikan aku sewaktu tidur dan kepadanya aku akan dikembalikan” Wawa membaca doa bangun dari tidur. Dia bangun perlahan-lahan dan berjalan ke bilik air. Setelah selesai berwudhuk, dia bersolat subuh. Kemudian dia ke bilik Sufiah dan mengejutkan rakan serumahnya untuk bangun bersolat.

“Sufiahhh...bangun, hari sudah menjelang subuh. Kalau bangun lambat, nanti kahwin dengan duda anak lapan” Wawa mengusik temannya. Sufiah menggeliat di atas katil. Apabila melihat rakannya sudah jaga, Wawa berlalu pulang ke biliknya dan menghidupkan komputer riba untuk melayari internet.

Dia membuka sesawang youtube.com. Kemudian dia mencari klip video ceramah mana-mana ustaz yang dirasakan sesuai. Dia membelek beberapa klip di skrin dan memilih satu klip yang bertajuk ‘Ubat Untuk Hati’.

Klik! Dia menekan tetikus dan klip itu mula dimuatkan untuk paparan. Sambil menunggu klip itu tersedia, dia bergerak ke almari pakaian dan mengeluarkan pakaian untuk bersenam. Hari ini hujung minggu dan dia akan ke tasik In Kyoung untuk bersenam. Sufiah sudah bilang dia tidak dapat bersama kerana mahu ke perpustakaan.

Sebaik mendapatkan semua set pakaian senaman, Wawa meletakkan semuanya di atas katil. Dia kembali ke meja bacaan tempat komputer ribanya dan menatap klip video. Terpapar pada skrin wajah seorang pemuda yang berkulit cerah dan berjambang. Dia memakai kopiah putih dan berbaju melayu. Di belakangnya kelihatan dinding usang seolah-olah pemuda itu berada di bilik atau dalam pejabat lama.

0 comments: